Mampukah
kita mewartakan ‘perang’ terhadap gula seperti yang disarankan
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)? Ya, saranan ini diberikan untuk
membendung masalah obesiti yang semakin menjadi-jadi di seluruh
dunia.
Walaupun
dalam garis panduan WHO sebelum ini menyatakan pengambilan gula
harian sepatutnya tidak melebihi 10 peratus daripada pengambilan
jumlah keseluruhan tenaga harian, tetapi kini badan dunia itu
menggalakkan supaya semua orang mencatu sehingga 50 peratus jumlah
gula yang masuk ke dalam badan.
Had
baru itu menetapkan pengambilan gula harian tidak melebihi lima
peratus jumlah keseluruhan kalori harian atau 25 gram yang bersamaan
dengan enam sudu teh gula sehari. Ia lebih rendah daripada jumlah
gula dalam satu tin minuman berkarbonat yang biasanya mengandungi
lebih kurang 10 sudu teh gula.
Kesan
negatif gula pada kesihatan, semua orang sudah maklum. Malah, mungkin
ada yang muak hendak membacanya. Persoalannya, bersediakah kita untuk
memulakan ‘perang’ ini? Pengambilan gula dalam bentuk nyata
mungkin tidak sukar untuk dikawal.
Contohnya
kita boleh menyediakan minuman yang kurang manis ketika berada di
rumah. Bagi yang menggunakan gula dalam masakan berlauk sebagai
penyedap rasa, mungkin boleh secara perlahan-lahan ‘memansuhkan’
fungsi gula itu.
Antara
gula ‘percuma’ yang membahayakan kesihatan itu termasuk gula
pasir, fruktosa atau glukosa yang banyak dimasukkan ke dalam
perusahaan makanan mahupun minuman. Ia juga merangkumi gula dalam
madu dan jus buah. Bagaimanapun, dalam garis panduan baru itu tidak
merujuk kepada gula dalam buah-buahan segar, sayur-sayuran dan susu
kerana sehingga kini tiada bukti menunjukkan ia berbahaya.
Pada
masa sama pengguna juga digesa untuk memberi perhatian kepada gula
tersembunyi dalam makanan berproses yang dilihat tidak manis seperti
sos cili atau tomato, tetapi biasanya mengandungi satu sudu teh gula
dalam setiap satu sudu makan sos.
Dalam
satu tinjauan ke atas pasar raya di Amerika Syarikat mendapati 80
peratus produk dijual mengandungi gula tambahan. Contohnya satu
mangkuk saiz biasa bijirin sarapan pagi mengandungi empat sudu teh
gula dan yogurt berperisa pula ada satu hingga dua sudu teh gula.
“Jika
anda makan bijirin sarapan pada waktu pagi, minum minuman berkarbonat
sebelah siang dan yogurt berperisa selepas makan malam, bermakna anda
sudah mengambil 15 sudu teh gula dalam sehari,” kata Francesco
Branca, ketua di Jabatan Pembangunan dan Pemakanan Untuk Kesihatan
WHO.
Badan
kesihatan itu mula membangkitkan isu gula tambahan ini pada 1989 dan
menyarankan supaya penduduk dunia mengurangkan pengambilan gula
harian sedaya mungkin.
Kali
ini ia memberikan saranan baru yang dikukuhkan dengan bukti saintifik
bagi menggalakkan semua orang benar-benar mengawal pengambilan gula
masing-masing selain menggesa kerajaan semua negara menjadikan
saranan berkenaan sebagai satu polisi.
Bagaimanapun,
sebagaimana laporan agensi berita AFP, banyak pihak melihat saranan
baru ini amat sukar dicapai kerana kita perlu menghentikan makan kek,
biskut, ais krim dan lain-lain minuman manis termasuk jus buah, kata
Tom Sanders, pensyarah pemakanan dan dietetik di Kolej King, London.
Di
seluruh dunia, pengambilan gula yang tertinggi dicatat di Amerika
Selatan iaitu 130 gram sehari, lebih dua kali ganda daripada saranan
WHO (50 gram), manakala negara Sub Sahara Afrika paling rendah
sekitar 30 gram saja.
Di
Eropah, pengambilan gula harian berbeza antara negara tujuh hingga
lapan peratus di Norway dan Hungary, tetapi 16 hingga 17 peratus di
Sepanyol dan Britain. Apa lebih membimbangkan ialah pengambilan ini
tinggi dalam kalangan kanak-kanak iaitu 12 peratus di Denmark dan
Sweden sementara kanak-kanak Portugal pula mencatat pengambilan
hampir 25 peratus.
Memang
diakui saranan baru ini amat baik khususnya dalam mengekang masalah
kesihatan sejagat seperti obesiti, diabetes, sakit jantung dan
lain-lain penyakit.
Dalam
usaha membanteras obesiti sejagat, lebih 50 negara kini dikenal pasti
memerlukan label pemakanan pada bungkusan yang lebih jelas dan Mexico
negara yang paling teruk berhadapan dengan masalah berat badan
rakyatnya sudah mengenakan cukai ke atas minuman manis.
#Langkah
kecil
Dalam
isu mengurangkan pengambilan gula ini, mungkin ada yang masih ingat
kempen Kementerian Kesihatan pada 1998 yang dijalankan secara
intensif. Semasa kempen ini, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk
memberi kesedaran kepada pengusaha gerai makanan dengan menggunakan
slogan ‘1 Mencukupi, Kurang Lebih Baik’.
Berdasarkan
Kajian Pengambilan Makanan dalam Kalangan Orang Dewasa Malaysia
2002/2003, orang dewasa di Malaysia menambah tujuh sudu teh sehari
iaitu empat sudu teh gula pasir dan tiga sudu teh susu pekat manis ke
dalam minuman mereka.
Jumlah
gula ditambah ke dalam minuman ini saja sudah melebihi saranan WHO
dan Panduan Diet Malaysia yang mencadangkan pengambilan jumlah gula
sehari tidak melebihi 50 gram.
Gula
adalah karbohidrat ringkas yang membekalkan sumber tenaga segera yang
mudah diserap oleh tubuh. Secara semula jadi, gula boleh didapati
dalam makanan mengandungi karbohidrat seperti nasi, mi, roti, pasta
dan ubi-ubian. Gula juga terdapat dalam buah-buahan dalam bentuk
fruktosa dan susu dalam bentuk laktosa.
Selain
terdapat dalam bentuk semula jadi, gula juga ditambah ke dalam
makanan ketika penyediaan atau pemprosesan. Pengambilan gula tambahan
tidak diperlukan dalam diet harian kerana gula boleh diperoleh
daripada makanan yang mengandungi karbohidrat.\
Pada
label makanan, gula boleh disenaraikan sebagai sukrosa, fruktosa,
sorbitol, manitol, sirap jagung, madu, malt, ekstrak malt, maltosa,
ekstrak beras, molas, golden syrup dan inverted sugar .
Sebagai
ibu bapa dan pengguna, sebenarnya kitalah yang bertanggungjawab dalam
menjaga pemakanan keluarga khususnya anak-anak. Kita boleh menyahut
saranan ini dengan membuat beberapa pengubahsuaian kecil dalam soal
pemakanan keluarga.
Antara
langkah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan pengambilan gula
dalam keluarga ialah:
-
Minumlah air kosong berbanding minuman manis seperti air berkarbonat,
air sirap atau kordial.
-
Hadkan pengambilan gula atau susu pekat manis atau susu isian pekat
manis kepada satu sudu teh saja untuk setiap cawan minuman.
-
Jika minum di restoran, minta untuk kurangkan gula, susu pekat manis
atau susu isian pekat manis semasa memesan minuman.
-
Periksa kandungan gula dalam label minuman sama ada minuman ringan
atau jus buah-buahan.
-
Kurangkan kekerapan mengambil minuman bergula seperti air
berkarbonat, kordial, cendol dan air batu campur.
-
Jangan masukkan gula ke dalam bancuhan susu formula anak.
-
Ketika membeli barangan makanan, pilih yang dilabel ‘tiada gula
tambahan, dikurangkan gula atau rendah gula’. Ia bermakna tiada
gula tambahan dimasukkan ketika makanan diproses tetapi ia tetap ada
kandungan gula contohnya daripada buah, susu atau madu.
-
Kalau biasanya anda memberikan snek manis kepada si kecil, apa kata
anda ubah kepada pilihan yang lebih sihat seperti makanan manis
semula jadi (buah-buahan segar atau kering).
-
Apabila anak menangis, jangan tawarkan gula-gula atau kudapan manis
kepadanya.
-
Jika anda sendiri mempunyai kecenderungan tinggi terhadap makanan
manis, belajarlah mengawal keinginan anda. Ini kerana anda menjadi
penentu kepada corak pemakanan keluarga.
Sebagai
ganti, anda boleh membuat sendiri biskut kegemaran. Dengan cara ini
anda boleh mengurangkan sehingga separuh daripada sukatan gula
digunakan tanpa menjejaskan rasanya atau kerangupannya.
-
Jika sebelum ini anda sering menghidangkan atau membekalkan sandwic
berinti manis (disapu jem atau mentega kacang) untuk anak, apa kata
selang-selikan ia dengan sandwic telur atau sardin. Masukkan juga
parutan sayur-sayuran ke dalam inti sandwic bagi menjadikan ia
pilihan lebih sihat dan seimbang.Tarikan
aiskrim memang sukar untuk ditolak.
-Jadi untuk menjadikan ia lebih
sihat, masukkan hirisan buah-buahan ke dalam mangkuk aiskrim anda
dan anak-anak. Ini adalah cara untuk mengurangkan jumlah aiskrim dan
pada masa sama menambah pengambilan serat dalam diet. Hadkan
pengambilan aiskrim ini kepada satu mangkuk kecil seorang, sekali
seminggu.
SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/36183
No comments:
Post a Comment